Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Yang DiPertua PERKASA Negeri Selangor D.E.

ESOK Raya. Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu telah pun mengumumkan perisytiharan bahawa Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini akan jatuh pada hari Juma'at 10hb September, 2010. Maka berakhirlah ibadah puasa dibulan Ramadhan pada kali ini, apabila umat Islam berbuka puasa pada petang hari ini. Pada malam ini dimerata-rata pelusok Tanah Air, samaada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, akan terdengarlah dengan penuh syahdu umat Islam bertakbir menyambut datangnya Syawal dan Eid Fitri.
Orang Melayu yang merupakan akar tunjang kepaduan rakyat Malaysia, bersama-sama dengan orang Islam dari kumpulan etnik pribumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan turut juga jangan kita lupakan kumpulan etnik kaum Cina, India dan lain-lain yang juga beragama Islam akan bersama-sama Berhari Raya. Bersaksilah wahai semua orang di dalam Negara Malaysia dan yang menilik dari luar, bahawa esok rakyat Malaysia, Melayu, Pribumi berbagai golongan etnik, Cina, India dan berbagai-bagai lagi kaum minoriti di Tanah Melayu bertuah ini akan bersama-sama meriah merayakan Hari Raya dengan tertib beragama dan muhibbah bersaudara. Kemeriahan dan persaudaraan ini juga bukan sahaja milik umat Islam berbagai etnik tetapi juga turut dirai bersama oleh kaum-kaum Cina, India dan lain-lain yang bukan beragama Islam. Disinilah letaknya kehebatan kepelbagaian Malaysia yang rukun dan damai.

PERKASA Negeri Selangor mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam berbagai kaum. Kepada semua rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, kami ucapkan selamat berkunjung-kunjungan kerumah rakan-rakan dan jiran tetangga beragama Islam bagi bersama-sama meraikan mereka.

Dewasa ini, kita tidak boleh lari dari menyentuh sikap sesetengah orang yang bersikap skeptikal dengan PERKASA, apabila melabelkannya "rasis", "ekstrimis" dan berbagai lagi tohmahan yang membawa konotasi yang negatif. Kita ambillah cuti hari raya ini untuk bersama-sama meneliti dan menginsafi perjuangan PERKASA dalam konteks keceluparan dan kegelojohan segolongan kecil politikus, ekstremis dan puak chauvinis yang mengambil kesempatan dengan situasi politik semasa untuk mencabar keluhuran Perlembagaan, malahan turut bertindak kurang-ajar, biadap dalam berurusan dengan kedudukan orang Melayu, Pribumi dan kedaulatan Raja-Raja, menyinggung dan menyakitkan hati serta menakutkan sebilangan besar rakyat terutamanya golongan majoriti orang Melayu. PERKASA tidak bersikap perkauman tetapi ia bertindak membentengi cerobohan dan kebiadapan golongan kecil puak chauvinis itu yang tebal sikap perkaumannya , ekstrimis dan subversif dalam tindak-tanduk mereka. Perhatikan dengan teliti dan kita akan lihat bagaimana sebilangan kecil mereka itu, berusaha menggoncang fabrik sosial dan keharmonian rakyat yang telah terbina hasil pengorbanan orang-orang terdahulu. Malaysia, nama negara bagi Negeri-Negeri Melayu yang ketika merdeka langsung bersekutu didalam sebuah Persekutuan bernama Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudian membesarkan persekutuan itu dengan kemasukkan Sabah dan Sarawak, terbentuk  berasaskan "Kesatuan didalam Kepelbagaian" berpegang kepada konsep "Bersekutu Bertambah Mutu" yang kini disimpulkan dengan slogan "1Malaysia".

Oleh itu, bersempena hari raya ini, kita menyerulah kepada orang-orang yang hanya seorang-dua itu, supaya buang jauh-jauh sikap menyalahkan PERKASA dalam mereka "gelabah" mencari "ubat" bagi mengubati  kesusahan mereka. Kepada rakyat Malaysia berbilang kaum, PERKASA tidak memusuhi sesiapa kecuali segelintir individu jahat yang kebetulan berada didalam kalangan kaum tertentu, dan juga yang berada dikalangan bangsa Melayu sendiri yang cuba menabur racun dan dengan licik cuba meruntuhkan kesatuan kita.

 PERKASA percaya bahawa PERPADUAN MELAYU ADALAH TERAS KEPADA PERPADUAN NEGARA!

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Ma'af Zahir dan Bathin!

Wassallam,
Abdullah Bin Mansor
Yang DiPertua Perkasa Negeri Selangor
dan seluruh Ahli Majlis Negeri Perkasa Selangor.

No comments:

Post a Comment