Wednesday, August 25, 2010

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KE 53 MALAYSIA MERDEKA


31 OGOS 2010 negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 53. Sebagai rakyat yang berilmu dan bertamadun tinggi marilah kita mempamirkan kebanggan kita yang luar biasa bagi merai dan menghargai kemerdekaan dan kedaulatan yang telah kita kecapi hasil perjuangan orang-orang terdahulu.

Pejuang-pejuang terdahulu telah berjuang bagi mendapatkan semula tanahair bumi milik kita dari pendudukkan penjajah selama 446 tahun (1957-1511), silih berganti, dan sepanjang perjuangan itu, tidak kurang ramai yang kecundang dan ramai juga yang terkorban demi nusa dan bangsa. Sepanjang tempoh itu juga, tidak kurang cabaran dan dugaan yang dilalui dan demi memastikan kedaulatan dan kemerdekaan ini di pertahankan, berbagai onak dan duri dihadapi namun berkat ketabahan dan perpaduan rakyat, semua rintangan dapat diatasi, dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

Hari ini, kita selaku generasi pewaris sudah menikmati hasil tinggalan orang terdahulu .Dengan tekun juga kita telah bersama-sama menjaga dan mengisi kemerdekaan itu dengan membangunkan negara demi kebahagian kehidupan kita. Hari ini juga, kita telah hidup, menghirup udara segar ,di bumi tercinta dalam keadaan yang harmoni, aman, damai, makmur dan selamat. Membangunkan negara tidak berlaku sekelip mata dan tidak juga ada penghujungnya kerana kehidupan berterusan dan kemampuan serta harapan berubah mengikut zaman dan keadaan. 

Namun cabaran juga datang dalam berbagai bentuk dan menjadi tanggungjawab kita selaku pewaris untuk memastikan negara ini kekal bebas merdeka dan berdaulat. Tanggungjawab kita ialah memastikan pula ia semakin elok untuk diwariskan pula kepada anak-anak bangsa yang menunggu giliran meneruskan kasih sayang kepada negara demi kelangsungan hidup mereka pula. 

Sempena ulangtahun kemerdekaan kali ke 53 ini, marilah kita semua memperkukuhkan perpaduan sesama kita dan menjunjung perlembagaan dengan luhur dan menjadikan rukun negara sebagai ikatan kental memelihara kerukunan bernegara demi keamanan, kemakmuran dan keselamatan yang berkekalan.

Negara kita adalah wajah kita, jauhilah sikap khianat dan derhaka kerana buruk negara, buruklah kita, tidak dia dan tidak sesiapa kerana kita semua adalah satu, sebagai rakyat negara yang satu. Kepelbagaian kita adalah satu kelebihan yang perlu kita syukuri dan nikmati. Ikatlah ia sepertimana tertulis di lambang keramat negara "Bersekutu Bertambah Mutu". Hurmati perlembagaan dan sayangi semua sebagaimana kita disayangi selama ini oleh Allah SWT yang telah memelihara kita dari bala bencana dan merahmati kita dengan kepimpinan yang beriman dan berwawasan.

Salam MERDEKA!
Yang DiPertua PERKASA Negeri Selangor dan seluruh warga PERKASA SELANGOR.

No comments:

Post a Comment